Adha tetap bersama pasukan biarpun tidak tersenarai

Oleh Staff Writer 5 Julai 2017 626
Adha tetap bersama pasukan biarpun tidak tersenarai
"Hati saya tetap bersama mereka walaupun sekadar penonton," itu reaksi bekas kapten bola jaring negara, Nurul Adha Abu Bakar, yang masih memiliki semangat sekalipun tidak tersenarai dalam skuad 12 pemain untuk Sukan SEA, bulan depan.

Adha merupakan kapten pasukan bola jaring negara sejak 2014, bagaimanapun dia gagal bersaing merebut slot senarai akhir kali ini atas faktor kecergasan.

Hati mana yang tidak hiba sebaik namanya tidak lagi diumumkan selaku watak penting, namun kecekalan pemain ini menerima keputusan ketua jurulatih negara, Tracey Robinson, begitu mengagumkan.

Dia masih bersama dengan pasukan, menjalani latihan seperti biasa walaupun mengakui emosi yang dilaluinya ketika ini tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.

"Pada mulanya memang agak susah sebab saya sudah korbankan segala-galanya. Mungkin rezeki saya sampai di sini sahaja tetapi saya masih ada masa satu bulan untuk berjuang," kata Adha yang tidak dapat menahan emosi.

Pengorbanan besar yang dilakukan Adha dengan mengambil cuti belajar selama setahun bagi memberikan tumpuan untuk Sukan SEA tidak dijadikan alasan untuk dia bersedih terlalu lama.

Pemain ini tidak menganggap kariernya sudah berakhir, sebaliknya dia mahu bangkit untuk kembali merebut kedudukannya dalam skuad negara.

"Saya korbankan tempoh belajar hanya untuk Sukan SEA tetapi apabila keputusan seperti ini terjadi, saya perlu kembali kepada keutamaan saya, iaitu belajar. 

"Saya akan berada di tepi gelanggang dan selepas habis Sukan SEA, saya akan sambung belajar seperti biasa," tambahnya. 

Skuad Sukan SEA:

1. Nur Syafazliana Md Ali (kapten)
2. Pow Mei Foong (penolong kapten)
3. Fariha Abdul Razak
4. Pua Pei San
5. An Najwa Azizan
6. Izyan Syazana
7. Norashikin Kamal Zaman 
8. L. Arishma
9. Siti Nor Farhana
10. Moramirah Dayana
11. Yap Suo Kuen
12. S. Sandralela

Pemain tidak tersenarai:

1. Nurul Adha Abu Bakar
2. Noor Azilah Aziz
3. Khairunisa Nazri

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen