Bola Sepak: "Saya bukan sengaja" -- Haziq

Oleh Staff Writer 30 Ogos 2017 48469
Bola Sepak:
"Saya bukan sengaja."

Itu pengakuan penjaga gol skuad bola sepak B-22 tahun negara, Haziq Nadzli, yang menjaringkan gol sendiri sehingga menghadiahkan kemenangan 1-0 dan pingat emas buat Thailand dalam aksi final Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Insiden pada minit ke-39 itu yang berpunca daripada sepakan sudut lawan sehingga menyebabkan Haziq tertumbuk bola ke gawang sendiri, jelas menjadi igauan buruk buat skuad muda negara.

Ia seakan-akan mengulangi tragedi 2001 di mana kesilapan penjaga gol Malaysia, Kamarulzaman Hassan, menyaksikan skuad negara tewas di tangan Thailand di venue dan keputusan yang sama, 1-0 di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun, Haziq menegaskan kesilapan itu bukan sesuatu yang disengajakannya.

"Bola itu melencong ke dalam, saya nak tumbuk tetapi keadaan hujan menyebabkan saya tersilap ketika menumbuk keluar. Apa boleh buat, itu bukan rezeki saya, bukan saya sengaja. Kalau saya sengaja, tidak perlulah saya bermain," katanya.

Tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, Haziq memiliki penjelasan tersendiri ketika berbicara mengenai kesilapan yang dilakukannya itu. 

"Sepuluh kali saya selamatkan gol, orang takkan ingat tetapi orang akan ingat sekali sahaja kesilapan saya. Siapa yang memberikan semangat kepada saya, terima kasih diucapkan. Siapa yang cakap macam-macam, itu hak mereka, saya tidak kisah."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen