Di sebalik beberapa keputusan kontroversi, pasukan Blue Warriors berjaya bangkit untuk mengikat pendahulu Liga Hoki Wanita, PKS Uniten-KPT, 1-1 dalam aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Ia merupakan perlawanan yang dilangsungkan semula selepas tertunda pada 25 Januari lalu akibat faktor cuaca.

Sebagai pendahulu liga, PKS Uniten mengasak sejak wisel permulaan dibunyikan, namun mereka mensia-siakan banyak peluang keemasan untuk mencetak jaringan.

PKS Uniten terpaksa menunggu sehingga minit ke-15 apabila Elly Shahirah Ellias meledak jaringan menerusi gol padang.

Blue Warriors kemudian mendapat peluang menyamakan kedudukan menerusi pemain dari India, Ritu Rani, namun pengadil perlawanan, Hoki Mohd Fakaruddin Abdul Razak, tidak mengiktiraf jaringan tersebut.

Keputusan itu menggangu emosi barisan pemain Blue Warriors, bagaimanapun, mereka tetap berusaha sehingga ke minit akhir perlawanan dan akhirnya jaringan penyamaan tiba menerusi pukulan sudut penalti Siti Zulaikha Husin pada minit ke-55.

"Ada beberapa kontroversi berlaku. Kalau kamu lihat, mungkin bola itu masuk. Keputusan pengadil adalah muktamad dan saya akan cuba mencuri mata lagi dalam perlawanan akan datang," kata jurulatih Blue Warriors, Zulkhairi Ariffin.

Sementara itu, jurulatih PKS Uniten, Lailin Abu Hassan, berkata: "Walaupun kami bermain kurang baik hari ini, peluang yang kami dimiliki dapat diselamatkan mereka.

"Kami harus bekerja keras untuk aksi esok. Ada satu lagi perlawanan menentang PDRM dan kami tidak akan melepaskan peluang yang ada."

Sekalipun mencatat seri, PKS Uniten kekal mendahului carta liga sambil diekori rapat Blue Warriors dengan miliki jumlah mata sama.