Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Terry Walsh, sah melepaskan jawatannya selepas empat tahun bersama badan induk itu.

Masa depan Walsh mula menjadi perhatian minggu lalu selepas KHM dan Majlis Sukan Negara (MSN) mendedahkan berdepan kekangan kewangan untuk mengekalkan dua tenaga pakar dari luar negara dalam kem hoki kebangsaan dalam satu masa.

Dengan khidmat ketua jurulatih, Roelant Oltmans, lebih ditagih bagi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Walsh dijangka meninggalkan jawatannya itu atas alasan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

"Selepas lebih tiga tahun selaku pengarah teknikal hoki di Malaysia, saya memutuskan untuk melepaskan jawatan dalam KHM.

"Saya menikmati tempoh kembali ke Malaysia dan menjalin kerjasama erat dengan pihak-pihak yang berkaitan.

"Saya melihat banyak perubahan yang diperkenalkan dalam pengurusan di sini dan saya juga masih percaya, terutama skuad utama lelaki, untuk menjadi antara pasukan terbilang di dunia.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada Datuk Seri Subahan Kamal atas galakan dan sokongan yang tidak berbelah-bahagi, termasuk kakitangan KHM, sepanjang tempoh itu," katanya.

Bagaimanapun, KHM akan terus mendapatkan khidmat nasihat Walsh bagi membantu skuad lelaki negara layak ke temasya Tokyo 2020.