Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menjelaskan kontrak pengendali skuad hoki pembangunan, Wallace Tan, tidak disambung adalah atas kemahuan jurulatih itu sendiri.

Kontrak Wallace bersama KHM sudah pun tamat 31 Disember lalu dan KHM telah menawarkan lanjutan untuk terus bersama dengan badan induk itu dengan mengisi jawatan sebagai jurulatih hoki dalam dewan.

Namun, Wallace tidak berhasrat untuk meneruskan khidmatnya kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga.

Wallace pernah menjawat beberapa jawatan dalam KHM, antaranya sebagai pengendali skuad senior pada 2004 hingga 2006, kemudian turut mengemudi skuad lima sepasukan negara memenangi emas Sukan Olimpik Remaja, Buenos Aires tahun lalu.

"Saya terpaksa menghormati keputusan Wallace kerana beliau mahukan masa bersama keluarga," kata Subahan.

Ketiadaan Wallace bermakna KHM akan mencari calon lain yang bersesuaian mengemudi skuad hoki dalam dewan yang akan menghadapi Sukan SEA Manila 2019.

KHM juga menjelaskan tiada keperluan untuk mendapatkan jurulatih import untuk jawatan itu biarpun diletakkan sasaran untuk meraih dua emas di temasya itu nanti.

"Kami mengutamakan jurulatih tempatan bagi membantu skuad ini membuat persiapan menghadapi Sukan SEA tahun ini."