Jurulatih hoki lima sepasukan negara, Wallace Tan, terpaksa berkompromi dengan jurulatih hoki remaja, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, dalam memilih pemain untuk mengelak sebarang konflik menjelang penampilan pertama skuad hoki dalam Sukan Olimpik Remaja (YOG).

Skuad hoki lima sepasukan Malaysia bakal membuat kemunculan pertama dalam temasya sukan itu di Argentina pada 6 Oktober depan.

Bagaimanapun, ia bertembung dengan satu lagi kejohanan, iaitu Piala Sultan Johor, yang juga akan berlangsung pada Oktober.

Justeru, Wallace terpaksa berunding dengan penggendali skuad remaja, Nor Saiful, dalam memilih pemain, memandangkan kebanyakan tonggak merupakan sebahagian daripada Skuad Projek 2020.

"Latihan untuk YOG bermula dari sekarang juga kerana kami gabungkan dengan Skuad Projek 2020.

"Mereka akan berlatih bersama tetapi kami akan mengadakan latihan khusus pada Ogos nanti dengan penambahan pemain baru," kata Wallace.

Ketika ini, Wallace yang turut bertindak sebagai pembantu kepada Nor Saiful aktif memantau pemain Skuad Projek 2020.

Katanya, hanya sembilan pemain akan dipinjam daripada Skuad Projek 2020 untuk dibawa ke Argentina nanti.

"Untuk skuad akhir, hanya sembilan orang sahaja tetapi akan akan panggil 20 orang untuk latihan YOG.

"Di sini, kami akan bermain bersama tetapi di Argentina nanti, kami akan mengadakan perlawanan persahabatan," katanya lagi.