Hilang penguasaan di pentas senior kebangsaan memaksa bekas pemain tengah hoki negara, I. Vickneswaran, tampil mencabar jawatan timbalan presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM), Sabtu ini.

Pasukan itu pernah menjadi kilang melahirkan pemain hoki skuad kebangsaan, antaranya Dr. Calvin Fernandez, Azroy Majeed, M. Nadajaran, Soon Mustafa selain jurulatih wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, dan Vickneswaran yang menyarung jersi skuad Piala Razak era 80-an.

Namun, pencapaian Kuala Lumpur merosot sejak beberapa tahun lalu dengan sandaran lebih banyak digalas pasukan wanita apabila muncul juara kejohanan bawah 16 tahun pada 2017 dan bawah 14 tahun, tahun lalu.

Ia memaksa beberapa individu untuk tampil mencabar jawatan dalam AGM KLHA yang diketuai Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin selaku calon presiden baru sementara Vickneswaran akan mencabar penyandang, S. Samson.

"Kami tidak lagi memenangi kejohanan seperti Piala Razak dan pertandingan-pertandingan di pelbagai peringkat umur.

"Perkara ini yang harus diperbaiki dan cuba diatasi.

"Ini kerana Kuala Lumpur merupakan pusat kepada pelbagai aktiviti sukan, jadi terdapat banyak peluang di sini," katanya.

KLHA ketika ini diterajui presiden, Datuk Abu Huraira Yazid.

Jawatan naib presiden menyaksikan 10 calon yang bertanding akan merebut empat jawatan manakala jawatan setiausaha membabitkan pertembungan di antara V. Muthu Kannu yang akan mencabar penyandangnya, V Rajamanickam.