Van Huizen terima keputusan KHM

Oleh Staff Writer 11 Jun 2018 6169
Van Huizen terima keputusan KHM
Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen, menyambut baik keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk membida hak selaku tuan rumah Kejohanan Hoki Siri Dunia 2019 yang dilihat mengurangkan tekanan dihadapi pemain-pemainnya dalam Sukan Asia 2018.

Van Huizen positif di sebalik pendirian KHM itu kerana beraksi di laman sendiri pasti memberi sedikit kelebihan kepada pasukan negara.

Bagaimanapun, dia masih melihat Sukan Asia 2018 sebagai keutamaan buat pasukan dengan pingat emas kekal sebagai sasaran.

Jika misi di Jakarta itu gagal, dia akan memikirkan mengenai Kejohanan Hoki Siri Dunia yang menjadi rancangan pilihan kedua kepada pasukan.

"Memang Sukan Asia 2018 menjadi peluang utama untuk ke Sukan Olimpik 2020 sekiranya muncul selaku pemenang pingat emas. 

"Bagaimanapun, usaha daripada KHM juga bagus kerana ia boleh menjadi rancangan kedua untuk ke pentas Olimpik," ujar Van Huizen.

Skuad negara pulang dari Buenos Aires pada Isnin lalu selepas melalui enam siri persahabatan dalam jelajah Argentina.

Ketua pasukan, Sukri Mutalib, merumuskan aksi berkualiti dengan Argentina sebagai sesuatu yang berbaloi, terutama menjelang Sukan Asia 2018 yang berbaki dua bulan lagi.

"Kami bergelut dalam tiga aksi awal dan saya sendiri tidak tahu apa puncanya.

"Selepas dikaji, kami memang melakukan kesilapan demi kesilapan. Apa yang bagus, semua pemain lebih berdisiplin dalam perlawanan keempat. Saya juga pernah berkata sebelum ini bahawa saya menginginkan satu kemenangan dan syukur ia dapat diraih.

"Komitmen yang pemain-pemain tunjukkan sangat tinggi," kata Sukri lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen