Juara Piala TNB 2018, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), sedang giat mencari pemain baru untuk musim depan dengan tumpuan memancing beberapa tonggak kebangsaan daripada pasukan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang kini sedang mencari majikan baru.

Penarikan diri KHC daripada kancah Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 memberi ruang buat jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, untuk memancing beberapa pemain berbakat daripada kelab itu.

Antara yang berada dalam radar UniKL ketika ini adalah pakar pukulan sudut penalti, Razie Abd Rahim, begitu juga kapten skuad kebangsaan, Sukri Mutalib.

Bagaimanapun, perbincangan secara rapi hanya akan dijalankan selepas Aidilfitri dalam usaha membawa kedua-dua pemain itu menyarung jersi UniKL.

"Sejak beberapa tahun lalu lagi, kami cuba mendapatkan khidmat Razie kerana kita semua maklum mengenai kehebatan pukulan sudut penaltinya.

"Tetapi, dia enggan berganjak daripada KLHC. Kami mahu berbincang dengan Razie jika diberi peluang," katanya.

Selain itu, Arul turut dalam usaha untuk memanggil semula beberapa pemain import sedia ada untuk kembali beraksi bersama UniKL musim depan, khususnya penjaga gol terbaik dunia, David Harte dari Ireland.

Namun, Arul masih menanti kata putus daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk tarikh bermulanya musim baru liga bagi memuktamadkan segala proses pendaftaran pemain UniKL.

"Kebanyakan pemain luar berminat beraksi di Malaysia.

"Kehadiran Gonzalo Peillat, misalnya, telah membuatkan nama LHM dikenali dalam kancah hoki dunia," katanya lagi.