UITM-KPT memutlakkan kemenangan Piala Presiden dengan menewaskan Politeknik-KPT 4-2 menerusi penentuan pukulan penalti apabila aksi sebenar tamat dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

UITM-KPT dan Politeknik-KPT berkongsi wang kemenangan sebanyak RM25, 000 setiap pasukan selepas perlawanan sebenar tamat dengan keputusan seri.

Kecemerlangan empat pemain UITM-KPT, Muhammad Shahfirul Aqmal Mohd Saiful, Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar, Muhd Azwar Abd Rahman dan Muhammad Asraf Zulzali menyempurnakan pukulan sudut penalti membantu pasukan itu untuk muncul juara selain kehebatan penjaga gol, Mohamad Adi Fazri Ab Rahim, menidakkan satu pukulan stroke dan pukulan penalti shoot-out.

UITM-KPT, bagaimanapun, terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal pasukan lawan menerusi gol padang Oh Seyong pada minit ketiga selepas bijak memperdayakan penjaga gol, Mohamad Adi Fazri.

Jaringan tersebut nyata tidak mematahkan semangat pemain-pemain UITM-KPT untuk bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi jaringan padang Muhd Azwar Abd Rahman bagi menamatkan aksi separuh masa pertama dengan kedudukan seri 1-1.

UITM-KPT hampir menggandakan jaringan pada suku keempat, namun bola hantaran Hairul Nizam Abd Rani dari sebelah kanan pintu gol lawan untuk mencari Muhammad Shahfirul Aqmal Mohd Saiful yang bersedia di kiri pintu gol lawan berjaya dihalang penjaga gol Politeknik-KPT, Muhammad Nur Ariff Hamda.

Dalam pada itu, dalam aksi penentuan tempat ketiga yang menemukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Kedah Hockey Team-NI, jaringan tunggal Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi membantu Kedah Hockey Team-NI untuk muncul pemenang.

Walaupun MBI dihadiahkan 10 pukulan sudut penalti, namun kelebihan tersebut gagal untuk diterjemahkan kepada jaringan sementara lima pukulan sudut penalti yang diperoleh Kedah Hockey Team-NI juga tidak berjaya untuk membantu mereka menggandakan jaringan.

Nur Rahul Hrsikesa dinobatkan selaku penjaring terbanyak selepas meledak 13 gol sepanjang kejohanan dengan 12 gol menerusi jaringan padang sementara satu gol menerusi pukulan sudut penalti untuk membawa pulang wang tunai RM1,000.

Keputusan:

Tempat ketiga dan keempat

Majlis Bandaraya Ipoh 0 Kedah Hockey Team-NI 1

Perlawanan akhir

UITM-KPT 1 Politeknik-KPT 1
*UITM-KPT muncul juara menerusi penentuan shoot-out 4-2.

Anugerah:

Juara: UITM-KPT
Naib Juara: Politeknik-KPT
Tempat Ketiga: Kedah Hockey Team-NI
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Mohd Hanip bin Che Halim (Politeknik-KPT)
Penjaring Terbanyak: Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi - 13 Gol (Kedah Hockey Team-NI)
Fairplay: MSNT – PHT