Tiga pemain diletakkan sebagai 'postman' skuad hoki negara dalam Sukan Asia Indonesia, bulan depan, bagi menggantikan pertahanan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, yang meninggalkan skuad kebangsaan.

Skuad negara mengadakan sesi latihan khas bagi tugas 'postman', iaitu gerakan untuk menghalang pukulan sudut penalti lawan.

Tiga pemain yang menjalani latihan itu ialah Muhammad Haziq Shamsul, Mohammad Fitri Saari dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Sebelum ini, Najmi menggalas tugas 'postman' dengan baik, malah dia turut bertindak sebagai pakar pukulan sudut penalti simpanan negara.

"Semasa Projek 2013, saya jadi 'postman'. Jadi, saya tidak mempunyai masalah untuk menggalas tugas itu, terutama dalam Sukan Asia 2018. Saya sudah membuat persediaan rapi mental dan fizikal," kata pemain tengah negara, Fitri.

"Kalau mendapat peluang bermain, saya akan buat tugasan saya sabaik mungkin untuk membantu penjaga gol," kata Haziq.

Dalam pada itu, Najmi tidak memberi alasan menarik diri selepas melangsungkan perkahwinan pada minggu lalu.

Pertahanan bertubuh sasa itu beraksi baik dalam beberapa kejohanan seperti Separuh Akhir Liga Dunia, Piala Asia dan Sukan Komanwel Gold Coast.