Aksi cemerlang yang ditampilkan dua pemain bawah 18 tahun dalam kelayakan Sukan Olimpik Remaja zon Asia di Bangkok, Thailand berjaya memikat hati jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, untuk diserap ke skuad wanita negara bagi menghadapi Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Sunrise, Bandar Donghae, Korea Selatan, dari 13 hingga 20 Mei ini.

Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad dan Nor Asfarina Isahyifika Isahhiddun merupakan dua pemain yang diserap bersama skuad senior kebangsaan selain Dhaarma Raj turut menyenaraikan Nurul Syafiqa Mat Isa dan Nur Zafirah Aziz dalam senarai 18 pemain ke Korea Selatan.

Dhaarma Raj, yang memiliki 26 pemain di bawah kendaliannya, mahu memberikan peluang kepada Syafi dan Asfarina bagi mengembangkan kebolehan yang dimiliki bersama skuad senior selain menyedari perlawanan di peringkat bawah 18 dan senior mempunyai perbezaan, namun berasakan kedua-dua pemain itu layak mendapat peluang.

“Keutamaan saya adalah untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain muda mengembangkan bakat mereka dan saya berasakan untuk kejohanan ini, Syafi dan Asfarina layak untuk mendapatkan peluang menunjukkan kebolehan mereka.

“Saya tidak menggugurkan pemain tetapi mahu memberikan peluang kepada pemain-pemain muda untuk mendapatkan pendedahan kejohanan di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya juga menyedari kejohanan di peringkat bawah 18 tahun dan peringkat senior mempunyai perbezaan tetapi saya tetap berasakan mereka layak untuk diberikan peluang.

"Dengan memberikan pendedahan seperti ini, ia akan mewujudkan satu suasana persaingan sihat dalam kalangan 26 pemain bagi merebut tempat ke Sukan Asia, Ogos nanti,” ujarnya.

Malaysia, yang berada di ranking ke-22, akan bersaing menentang China yang berkedudukan di ranking kelapan, Korea Selatan (9), India (10) dan Jepun (12).

Skuad negara akan berlepas ke Korea Selatan pada Selasa ini dan membuka tirai perlawanan dengan bertemu tuan rumah, Korea Selatan, pada 13 Mei nanti.

Senarai 18 pemain

1. Farah Ayuni Bt Yahya
2. Mas Huzaimah Bt Md Aziz
3. Siti Noor Amarina Bt Ruhani
4. Juliani Bt Mohamad Din
5. Raja Norsharina Bt Raja Shabuddin
6. Nuraini Bt Abd Rashid
7. Surizan Bt Awang Noh
8. Wan Norfaiezah Bt Md Saiuti
9. Fatin Shafika Bt Md Shukri
10. Hanis Nadia Bt Onn
11. Nuraslinda Bt Said
12. Nur Syafiqah Bt Mohd Zain
13. Nurul Nabihah Bt Mansur
14. Nur Amirah Shakirah Bt Zulkifli
15. Nurul Syafiqa Bt Mat Isa
16. Nur Zafirah Bt Aziz
17. Nur Maizatulhanim Syafi Bt Sheik Fuad
18. Nor Asfarina Isahyifika Bt Isahhiddun