Skuad hoki wanita kebangsaan terus dirundung malang setelah tewas 1-3 kepada naib juara 2016, China, dalam aksi kedua pusingan awal Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Wanita Asia di Stadium Sunrise, Donghae, Korea Selatan, hari ini.

Ia merupakan kekalahan kedua skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu yang tewas dengan jaringan sama kepada pasukan tuan rumah, Korea Selatan, dalam aksi pembukaan, semalam.

Dalam aksi hari ini, China mendahului 2-0 hasil jaringan padang Zhang Jinrong seawal minit ketiga sebelum Li Hong menggandakan kedudukan pada minit ke-20, juga menerusi gol padang.

Hanis Nadia Onn merapatkan kedudukan untuk Malaysia menerusi gol padang pada minit ke-22, namun Cui Qiuxia memastikan kemenangan sulung China melalui pukulan penalti pada minit ke-53.

Mengulas kekalahan itu, Dhaarma mengakui pemainnya gagal memberi saingan sengit kepada pasukan lawan yang berada di ranking kelapan dunia.

Dia berkata kehilangan dua tonggak utama, Raja Norsharina Raja Shahbuddin yang patah jari serta Julaini Muhammad Din yang mengalami kecederaan lutut, menjejaskan rentak permainan pasukan.

Sehubungan itu, Dhaarma mengharapkan pemainnya kembali bangkit memberi saingan kepada Jepun dalam aksi ketiga, Rabu ini.

Dalam satu lagi perlawanan hari ini, Korea Selatan dan Jepun seri 1-1.

--- BERNAMA