Masa kian suntuk buat jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, untuk menyenaraikan 22 pemain selepas beberapa tonggak sedia ada mempunyai komitmen berlainan bagi menghadapi Trofi Juara-Juara Asia di Korea Selatan, dari 13 hingga 20 Mei depan.

Komitmen dimaksudkan adalah sebahagian daripada pemainnya kini terlibat dengan kempen skuad negara dalam kelayakan Sukan Olimpik Remaja di Bangkok bagi acara hoki lima sepasukan bawah 18 tahun.

Skuad hoki lima sepasukan wanita negara yang dikendalikan oleh Yahya Atan itu memulakan saingan tersebut hari ini hingga Ahad depan.

Bagaimanapun, Dhaarma mempunyai tempoh sehingga Jumaat ini bagi menyerahkan senarai penuh pemain kepada Persekutuan Hoki Asia (AHF) atau berkemungkinan berdepan dengan denda sekiranya lewat.

"Jika saya mengambil kesempatan untuk memilih ketika kejohanan lima sepasukan itu, mereka akan terus sertai pasukan tanpa menjalani latihan memandangkan kami sudah tiga minggu tidak berlatih selepas Komanwel. Itu dilema yang saya hadapi," katanya.

Sungguhpun sukar untuk membuat penilaian memandangkan sebahagian besar pemain yang diperlukan tiada dalam sesi latihan, Dhaarma mungkin akan menurunkan barisan skuad yang sama ketika kempen Sukan Komanwel lalu.

Tidak meletakkan harapan tinggi dalam kejohanan itu, Dhaarma sekadar mahu menjadikan ia sebagai satu medan pendedahan buat anak buahnya memandangkan mereka kurang perlawanan bertaraf dunia sebelum menghadapi Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

"Sama ada kami mahu membawa pemain yang sama atau memberi peluang kepada pemain muda, itu persoalannya."