Pengalaman beraksi dalam temasya Gold Coast 2018 menjadi bekalan terbaik penyerang muda skuad hoki wanita negara, Nur Amirah Shakirah Zulkfli, apabila bakal membantu Malaysia merebut Trofi Juara Asia di Donghae, Korea Selatan, bulan depan.

Nur Amirah dipilih pengendali kebangsaan, Dhaarma Raj Abdullah, kerana mampu membuat pukulan kilas di samping menjadi aset penting bagi jentera serangan negara.

Namun, ketajamannya meledak sembilan gol dalam saingan tempatan belum cukup untuk dia menghadirkan ancaman ketika berdepan pasukan terbaik dunia di Gold Coast, 4-15 April lalu.

Meskipun gagal mencetak sebarang gol dalam penampilan sulungnya dalam Sukan Komanwel, ia tidak melemahkan semangat pemain berusia 18 tahun itu, sebaliknya yakin mampu untuk meledak dalam Trofi Juara Asia nanti.

"Perasaan gemuruh itu ada tetapi oleh kerana selalu beraksi, saya perlu memberanikan diri.

"Saya perlu bekerja keras dan menggilap skil baru.

"Saya mahu terus memberikan yang terbaik dan mendapatkan gol," ujarnya.

Malaysia bakal menyertai empat lagi pasukan terbaik dunia, Jepun, China, India dan tuan rumah, Korea, bagi merebut kejuaraan dwi-tahunan itu.

Mengakui ranking Malaysia tiada setaraf dengan empat negara terbabit, penjaga gol negara, Farah Ayuni Yahya, mahu membuktikan kehadiran The Malaysian Tigress bukanlah sebagai pasukan belasahan.

"Kami sedar empat pasukan berkenaan merupakan pencabar utama dunia.

"Apapun, apa yang kami lalui dalam Sukan Komanwel Gold Coast, sama sahaja dalam Trofi Juara Asia nanti.

"Kami perlu percaya kepada perancangan jurulatih dan maklumat pasukan lawan yang sudah diselidikinya," kata Farah Ayuni.