Jurulatih baru TNB Thunderbolts, Nor Azlan Bakar, mahu membuang anggapan bahawa skuad kendaliannya merupakan pasukan belasahan kerana hanya bersandarkan kudrat tenaga muda tempatan untuk mengharungi saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019.

Nor Azlan dilantik oleh pihak pengurusan untuk membimbing skuad muda Thunderbolts musim ini menggantikan Muhammad Amin Abdul Rahim.

Dia sebelum ini banyak melakukan tugas belakang tabir dengan kali terakhir diberikan tanggungjawab sebagai jurulatih mengendalikan skuad TNB pada 2013.

Bagi Nor Azlan, dia mahu membuktikan TNB Thunderbolts bukanlah 'lubuk' untuk belasahan lawan, sebaliknya bersandarkan pemain muda, dia percaya mereka mampu mencipta kejutan menentang skuad gergasi dalam saingan liga tempatan.

"Ini merupakan tanggungjawab besar yang saya pikul kerana pasukan ini diibaratkan seperti skuad muda kebangsaan. Ia adalah usaha daripada TNB untuk membantu negara.

"Ia bertujuan untuk mereka meraih banyak pendedahan," katanya.

TNB Thunderbolts bakal membuat perhitungan dengan pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi peringkat suku akhir Piala Tan Sri P. Alagendra, hari ini.

Bagi saingan musim ini, selain pemain remaja, TNB Thunderbolts turut diperkuatkan dengan beberapa pemain berpengalaman seperti penjaga gol negara, Hairi Abd Rahman, Nurhizzat Sumantri, Azril Misron dan Aminuddin Mohd Zain.

"Kami sedia maklum bahawa pemain remaja memiliki kelebihan daripada segi kelajuan. Kami akan cuba gunakan kelebihan itu berdasarkan individu yang kami miliki, mencongak strategi agar dapat memberi saingan kepada pasukan utama," ujarnya.