Selepas berjaya merampas kembali kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) 2019, skuad Terengganu Ladies Hockey Team (THLT) melaungkan cabaran untuk turut merebut semula Piala Vivian May Soars bagi memulihkan semula reputasi mereka dalam kancah liga tempatan.

Bekas pengendali Bangladesh, Iman Gobinathan, kembali ke Malaysia untuk membimbing skuad THLT.

Hasil perancangannya, THLT mencatatkan 10 kemenangan dan hanya tewas sekali kepada PKS Uniten untuk mengumpul keseluruhan 30 mata sehingga ia tidak mampu dicabar biarpun masih berbaki satu lagi perlawanan.

Ia pengubat kekecewaan selepas mereka dinafikan kejuaraan musim lalu apabila sekadar berpuas hati di tangga ketiga liga.

"Terima kasih kepada Terengganu kerana memberi peluang untuk saya membimbing mereka.

"Walaupun kejurulatihan adalah sebahagian daripada kejayaan ini, pemainlah yang sebenarnya bertungkus-lumus dan mereka bermain dengan cukup baik.

"Saya kembali (dari Bangledesh) dan dapat menjulang kejuaraan liga, jadi saya sangat gembira," kata Iman.

Dengan kejayaan merampas kembali kejuaraan liga musim ini, ia menyemarakkan lagi barisan pemain THLT untuk turut meraih satu lagi kejuaraan, Piala Vivian May Soars, yang akan memulakan saingan Selasa ini.

"Kami bakal bertemu kelab dari China, Liaoning Infinite Space Hockey Club (LISHC), dalam saingan Piala Vivian May Soars, ia merupakan satu tekanan,"kata kapten THLT, Siti Noor Amarina Ruhani.