Ketua jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Sarjit Singh, tidak menolak kemungkinan kembali menyenaraikan Faizal Saari dalam kesebelasan utama berdepan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), esok.

Faizal, 26, mengalami kecederaan paha, 3 Februari lalu, namun bekas pengendali negara itu mengakui memerlukan khidmat penyerang kebangsaan itu untuk menambah sengat THT bagi membantu mengekalkan kejuaraan Liga Premier Hoki Malaysia (MHL-TNB), musim ini.

“Ini adalah perlawanan yang sukar, jadi saya berharap kami dapat menggunakan khidmat Faizal serta pemain import, Ammad Shakeer Butt, yang kembali daripada kecederaan.

“Mereka menyatakan kesediaan untuk turun beraksi, malah keadaan pemain itu juga semakin baik selepas menjalani pemulihan di ibu kota sejak seminggu lalu.

“Saya akan menyenaraikan mereka dalam senarai pemain dan dijangka mampu untuk kembali beraksi,” ujar Sarjit.

Berkongsi 33 mata dari 13 perlawanan, THT hanya memerlukan keputusan seri untuk mengekalkan kejuaraan liga selepas mempunyai kelebihan jaringan lebih besar berbanding pencabar terdekatnya itu.

“Dari awal lagi, saya sudah menjangkakan kejuaraan hanya akan ditentukan dalam perlawanan terakhir.

“Walaupun kami menyasarkan untuk mengesahkan kejuaraan lebih awal, malangnya kami kehilangan empat mata selepas seri bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di tempat mereka.

“KLHC juga pasti lebih bersedia kali ini dengan kembalinya Muhammad Razie Abdul Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor ke pangkuan mereka.

“Kejuaraan pertama musim ini sudah berada di depan mata, kami harus mengambil kesempatan ini untuk mencari kemenangan,” tambahnya lagi.