Pasukan Hoki Terengganu (THT) hanya selangkah lagi daripada mempertahankan kejuaraan Liga Premier Hoki Malaysia (MHL-TNB) selepas menang 5-2 ke atas Maybank di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, petang tadi.

Juara bertahan itu bermula garang dengan mendahului pada minit ke-10 selepas Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil bijak menyambar pukulan sudut penalti Jang Jonghyun yang ditepis penjaga gol lawan, David Charles Michael.

Jonghyun tidak mensia-siakan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-12 dan minit ke-17 untuk menjadikan kedudukan selesa 3-0 buat THT.

Bersambung babak kedua, penyerang kebangsaan, Muhammad Firhan Ashaari, menjaringkan gol keempat tuan rumah pada minit ke-31 menerusi jaringan padang.

Maybank merapatkan kedudukan kepada 1-4 tidak lama selepas itu hasil jaringan pemain import, Jang Soon Chan.

Gol itu menyemarakkan semangat pelawat dan hampir menambah jaringan apabila menyaksikan percubaan Mohamad Syafiq Mohamed Zain (m-41) dan Mohd Zulhairi Hashik seminit selepas itu, dinafikan penjaga gol THT, Muhammad Hafizuddin Othman.

Muhammad Hafizuddin tewas buat kali kedua selepas Jeremy Edwards membuat pukulan dari sudut sukar untuk gol kedua Maybank pada minit ke-47.

Pemain gantian THT, Ameer Aiman Mohamad Saberi, mengurangkan tekanan tuan rumah dengan gol kelima selepas menyambung hantaran Valentin Verga pada minit ke-56 dan kedudukan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

THT kini mengumpul 33 mata dan akan berdepan pencabar terdekat, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), bagi menentukan juara mutlak MHL-TNB dalam aksi terakhir liga di gelanggang lawan, Ahad ini.

Keputusan hari ini:-

THT 5 Maybank 2
UniKL 1 KLHC 3
TNB 10 SSTMI 0
TNB Thunderbolts 3 UiTM-KPT 0