Skuad hoki lelaki negara mengalami kekalahan kedua dalam Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 “Ready Steady Tokyo Olympics Test Event” selepas kecundang 1-3 kepada Jepun di Stadium Hoki Oi di Tokyo, hari ini.

Keputusan itu hadir selepas The Malaysian Hockey Tigers tewas 0-6 kepada pasukan nombor lima dunia, India, dalam perlawanan pembukaan semalam.

Dalam aksi hari ini, Kentaro Fukuda membuka jaringan bagi pasukan di ranking ke-16 dunia itu pada minit ke-26 sebelum Nabil Fiqri Mohd Noor, yang diturunkan semula dalam skuad negara baru-baru ini, menyamakan kedudukan pada minit ke-37.

Skuad negara di bawah bimbingan jurulatih dari Belanda, Roelant Oltmans, bekerja keras dalam usaha untuk melakar kemenangan pertama tetapi kesilapan menyaksikan Kazuma Murata dan Kota Watanabe menjaringkan gol, masing-masing pada minit ke-48 dan 49.

“Pemain beraksi dengan cukup baik dalam separuh masa pertama dan juga suku ketiga, namun tidak dapat mengekalkan corak permainan yang sama dalam suku keempat dan kesilapan mula dilakukan.

“Sepanjang kempen siri jelajah, ini merupakan perlawanan ke-11 kami dan kami bermain dengan 15 pemain sahaja. Bagaimanapun, berbanding semalam, hari ini pemain menunjukkan satu persembahan yang lebih baik.

“Esok tiada perlawanan yang akan berlangsung dan kami akan membuat analisis sebelum turun bertemu New Zealand serta membuat perancangan rapi tetapi sebelum itu, pemain perlu menjalani sesi pemulihan dengan sebaiknya,” kata Oltmans seperti dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), hari ini.

Malaysia, selaku pasukan ranking ke-12 dunia dan belum layak ke Sukan Olimpik 2020, akan berdepan New Zealand dalam perlawanan seterusnya pada 8.30 pagi (waktu Malaysia), Selasa ini.

Kejohanan itu adalah sebahagian daripada persiapan skuad kebangsaan bagi pusingan akhir kelayakan pada Oktober dan November ini.

-- BERNAMA