Penyerang veteran hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, tidak rela berputih mata untuk terus menanti empat tahun lagi bagi merealisasikan impian ke Sukan Olimpik ketika dia menyedari usia akan menjadi penghalang memanjangkan kerjaya.

Tengku Ahmad Tajuddin adalah antara sebahagian pemain senior yang sudah pun melalui empat kempen kelayakan Sukan Olimpik yang mengecewakan sejak mula mewakili negara pada 2006.

Kini berusia 33 tahun, masa kian suntuk untukmya yang mengidamkan status Olimpian dengan melayakkan diri ke Tokyo tahun depan.

Tengku Ahmad Tajuddin kini merupakan pemain kedua paling banyak 'caps' dalam pasukan kebangsaan dengan 280 penampilan selepas kapten pasukan, Sukri Mutalib, yang telah mengutip 314 'caps'.

"Setiap kali turun beraksi, saya sentiasa mengharapkan persembahan terbaik dan keputusan positif. Ia merupakan matlamat saya dan pasukan untuk kejohanan kali ini," katanya.

Dalam masa sama, Malaysia tidak akan menyimpan taringnya menentang Wales hari ini walaupun ia hanya perlawanan persahabatan sebelum Siri Dunia Akhir membuka tirai Sabtu ini.

"Kami perlu menghadirkan keputusan yang positif. Daripada situ, ia akan menambah lebih ramai penyokong untuk hadir ke stadium."