Semangat kental penyerang skuad hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, yang membuat penampilan semula dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) selepas dua minggu menjalani pembedahan rahang, menjadi pembakar semangat buat rakan sepasukannya, Firhan Ashaari.

Firhan antara pemain yang masih menjalani rawatan kecederaan lutut.

Penyerang skuad kebangsaan itu sudah berehat selama tujuh bulan gara-gara kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Tetapi selepas menyaksikan kebangkitan semula Tengku Ahmad Tajuddin yang menjaringkan gol bersama UniKL dalam LHM, Rabu lalu, semangatnya semakin membara.

"Ia pengorbanan yang besar daripada seorang pemain.

"Sebab kita tahu kecederaannya bukan ringan tetapi patah rahang.

"Jadi, ia menjadi satu kebanggaan untuk dicontohi oleh semua pemain di Malaysia.

"Semangat untuk kembali bermain

"Dengan adanya pemain sepertinya, kami juga mahu menjadi sepertinya," katanya.

Tengku Ahmad Tajuddin menerima pujian apabila kembali beraksi walaupun baru dua minggu menjalani pembedahan rahang selepas terkena bola pukulan lawan.

Semangat kental itu membuktikan kesungguhannya untuk terus bermain walaupun ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans, menyuarakan perancangannya dalam mengutamakan pemain muda bagi membentuk pasukan utama sepanjang tahun ini.



Editor: Muzaffar Musa