Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memandang serius isu melibatkan kerosakan padang di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dan mahu mula melakukan pemantauan berkala di venue sekitar KL Sports City untuk mengelak perkara sama berulang.

Daripada aduan yang diterima, Syed Saddiq melakukan lawatan mengejut ke Stadium Hoki Nasional untuk melihat sendiri permukaan padang yang dikatakan bermasalah.

Kedua-dua padang tersebut ternyata tidak berada dalam keadaan terbaik, namun atas saranan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), saingan Piala Tan Sri P. Alagendra tetap akan diteruskan esok tetapi hanya melibatkan penggunaan padang 1.

Untuk rekod, padang itu baru sahaja melalui transformasi susulan penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sehingga berjaya mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

"Setiap penambahbaikan diuruskan oleh pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam menyelesaikan masalah ini dan memastikannya berulang lagi," kata Syed Saddiq.

PSM pula sudah berjumpa dengan pihak pembekal, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), yang berjanji akan membaik pulih semula keadaan padang secara percuma memandangkan ia masih dalam tempoh jaminan pembekal.

Padang di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil akan ditutup pada 11 Februari depan dan akan menjalani proses baik pulih sehingga 31 Mac sebelum bermulanya pusingan akhir Siri Hoki Dunia pada April depan.

"Kami tidak dapat memastikan masalah utama tetapi kami akan cuba mendapatkan permukaan padang yang baru daripada pihak pembekal," kata Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Azman Fahmi Osman.