Penyerang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Mohd Syamim Yusof, terpaksa menolak tawaran bermain di Itali dan Oman selepas selesai menjalani pembedahan kaki ekoran jangkitan kuman yang memaksanya berehat panjang.

Doktor terpaksa membuang sebahagian besar kulit kaki kirinya dalam pembedahan pertama.

Bekas penyerang skuad Projek 2013 itu dijadualkan menjalani pembedahan kedua Jumaat ini untuk membaiki tisu yang rosak.

Syamim, 26, dijangka berehat sekurang-kurangnya enam bulan dan lantaran itu, terpaksa menolak semua tawaran.

"Selepas mendapati kaki semakin bengkak, lantas saya merujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan kaki saya didapati terkena jangkitan kuman.

"Doktor cuba menyelamatkan kesihatan saya, itu yang paling penting.

"Saya baru mencecah usia 26 tahun, karier saya masih panjang.

"Jadi, lebih baik saya fokus kepada kesihatan berbanding memikirkan peluang bermain di luar negara," kata pemain itu yang merakamkan empat gol sepanjang Liga Hoki Malaysia 2018 serta membantu KLHC menjuarai Piala Sumbangsih dan Piala Tan Sri P. Alagendra.