Bekas kapten skuad hoki lelaki negara, Sukri Mutalib, berjanji akan membuat kemunculan semula bersama pasukan kebangsaan selepas digugurkan daripada senarai baru yang dipanggil meskipun usianya sudah mencecah persaraan.

Sukri, 34, merupakan antara pemain berpengalaman selain Faizal Saari, Fitri Saari, Nabil Fikri Mohd Noor dan Joel Van Huizen yang tidak tersenarai mengikuti sesi latihan skuad kebangsaan yang diumumkan semalam.

Bekas kapten negara itu percaya Malaysia bakal bergelut buat seketika, namun kemasukan sebelas muka baru merebut 25 senarai pendek pemain akan menjadi satu suntikan yang diperlukan untuk skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, pemain yang memiliki 335 penampilan di peringkat antarabangsa itu menghormati keputusan tersebut dan berjanji akan membuat kemunculan semula, musim depan.

"Ketua jurulatih, Roelant Oltmans, telah berbincang dengan saya. Dia memberitahu memiliki perancangan untuk empat tahun, bermakna saya tiada dalam sistem. Saya tidak berdepan masalah. Ini masa terbaik untuk saya rehat dan luangkan masa bersama keluarga, saya banyak berhutang dengan mereka. Jadi, ini detik terbaik untuk rehat daripada arena antarabangsa," katanya.

Buat masa ini, Sukri mengambil keputusan untuk berehat seketika dan tiada perancangan untuk bersara dalam masa terdekat.

"Ia sebenarnya 50-50. Jika nama ada, mungkin saya minta dikeluarkan. Apabila ada perancangan empat tahun, ia baguslah untuk saya. Tidak perlu bersusah untuk menghantar surat dan sebagainya. Namun, saya belum mahu bersara."