SELANGOR 1 SABAH 0

Jaringan tunggal Siti Nur Aliah Aminuruddin membantu skuad hoki wanita Selangor menamatkan penantian 24 tahun pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) dalam pertembungan final di Ipoh, hari ini.


Aksi final wanita menemukan Selangor dan Sabah dengan kedua-dua pasukan dilihat mempunyai peluang seimbang untuk memburu emas.

Begitupun, motivasi Selangor lebih tinggi, apatah lagi dua tahun lalu mereka dikecewakan oleh Melaka di pentas final.

Suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbuka, namun gagal memanfaatkan peluang jaringan.

Hanya dalam suku berikutnya, Selangor berada di depan hasil gol padang Nur Aliah.

Penguasaan Selangor diteruskan selepas itu dengan empat pukulan sudut penalti berturut-turut tetapi dihampakan oleh ketumpulan penyudah.

Skuad kendalian Ikmal Abdul Jabar itu kemudian terpaksa bermain dengan corak lebih bertahan pada penghujung saingan berikutan Sabah mengasak hebat.

Bagaimanapun, keputusan 1-0 itu kekal sehingga permainan tamat, sekali gus Selangor mengulangi kejayaan emas yang kali terakhir dilakukan pada edisi 1994 yang juga kali terakhir dianjurkan oleh Perak.

"Kejayaan ini sangat mengujakan.

"Kami sedar kejayaan terakhir adalah pada 1994 dan ia satu cabaran buat saya.

"Latihan kami dari Disember sehingga sekarang akhirnya membuahkan hasil dan saya sangat berbangga dengan pemain-pemain saya," kata Ikmal.