SABAH 1 PAHANG 1
(Sabah juara menerusi penentuan penalti 4-2)

Skuad hoki lelaki Sabah melengkapkan catatan sejarah mereka apabila muncul pemenang pingat emas selepas menewaskan Pahang dalam aksi final di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, sebentar tadi.


Beraksi buat kali pertama di pentas final Sukma, Sabah ketinggalan 0-1 selepas pemain Pahang, Muhamad Izham Azhar, menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35 dalam suku ketiga perlawanan.

Gol itu tidak mematahkan semangat Sabah yang menyamakan kedudukan pada minit ke-49 dalam suku terakhir menerusi Shello Silverius, juga hasil pukulan sudut penalti.

Permainan kemudian semakin rancak di penghujung perlawanan dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan.

Bagaimanapun, senario berkenaan gagal diterjemahkan kepada gol dan pemenang aksi final itu terpaksa ditentukan menerusi penentuan pukulan penalti.

Sabah, yang mara ke final selepas mengatasi Perak 3-2 dalam separuh akhir menerusi pukulan penalti, sekali lagi bernasib baik apabila mengatasi Pahang 4-2 juga menerusi langkah sama untuk mengesahkan emas.

Kejayaan itu juga mengubati kekecewaan pasukan wanita mereka yang sekadar memenangi pingat perak selepas kecundang 0-1 kepada Selangor, petang tadi.

Dalam perlawanan itu, gol tunggal menerusi jaringan padang Siti Nur Aliah Amnuruddin pada minit ke-23 dalam suku kedua berjaya menjulang Selangor untuk meraih pingat emas.

Kredit imej: Kementerian Belia dan Sukan Sabah