Pasukan hoki negara tidak lagi menghantar skuad pelapis dalam Sukan SEA, sebaliknya akan mempertaruhkan barisan terkuat dalam usaha mempertahankan pingat emas yang dimenangi sejak dua edisi lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), K. Logan Raj, keputusan itu diambil sebagai penghormatan beraksi di laman sendiri.

Mengakui ramai mahu melihat skuad terbaik dimiliki negara, dia berasa situasi itu mampu menyuntik kehadiran lebih ramai penonton menyokong pasukan negara setiap kali beraksi.

"Sudah tentu kami akan turun bermain untuk meraih kemenangan, maka kami akan memilih pemain sebaik mungkin. Kami tidak menghantar pemain remaja, sebaliknya pasukan terbaik untuk memenangi emas," katanya.

Jelas Logan, dia melihat skuad hoki lelaki dan wanita akan berada pada momentum terbaik kerana mereka akan bermain dalam kejohanan separuh akhir Liga Hoki Dunia.

Justeru, dia tidak nampak sebarang alasan faktor keletihan atau fokus pemain bakal terganggu sekiranya mereka beraksi dalam Sukan SEA, 19-31 Ogos ini.

"Saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia akan diadakan sebelum Sukan SEA. Kami membuat persiapan untuk Liga Hoki Dunia.

"Dalam kalendar hoki, banyak pertandingan diadakan dan sudah tentu kami menumpukan perhatian kepada Liga Hoki Dunia pusingan ketiga dengan harapan akan ke Piala Dunia, juga Sukan SEA yang sangat penting."

Singapura menjadi pesaing kuat buat skuad hoki lelaki negara dalam Sukan SEA apabila dua kali berdepan Malaysia dalam final tetapi tewas selepas hoki kembali sejak kali terakhir dipertadingkan pada 2001.

Thailand pula menjadi ancaman skuad wanita yang juga dua kali berturut-turut berdepan Malaysia dalam final tetapi skuad negara lebih dominan.

Pencapaian skuad hoki lelaki & wanita negara dalam Sukan SEA

Skuad lelaki:
2015 : emas
2013 : emas
2001 : emas

Skuad wanita:
2015 : emas
2013 : emas
2001 : emas