Seramai 20 pemain hoki negara yang diketuai kapten, Sukri Mutalib, melaporkan diri pada hari pertama kem latihan pusat untuk Sukan SEA dengan keazaman mempertahankan pingat emas sejak temasya 1975.

Skuad The Malaysian Tigers memandang serius misi mempertahankan emas walaupun masih segar dengan kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 secara merit, bulan lalu.

Semua pemain melaporkan diri di padang tiruan Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini, termasuk pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor, yang mengalami kecederaan ringan.

"Kami semua memandang Sukan SEA sebagai kejohanan yang bertaraf tinggi meskipun kami satu pasukan yang kuat di Asia Tenggara. Namun, pada masa sama, kami mahukan pasukan lain turut bangkit sama," katanya.

Sementara itu, pemain tengah skuad negara, Mohd Marhan Abdul Jalil, berkata: "Semua pemain hadir menjalani latihan selepas pulang daripada aksi kelayakan Piala Dunia. Ini yang kita mahukan, tidak putus-putus mengejar kejayaan."

Malaysia memenangi emas acara hoki lelaki dalam semua edisi Sukan SEA kecuali pada 1973 apabila tewas di tangan Singapura pada peringkat akhir.

Sejak itu, prestasi Malaysia terus meningkat sehingga gagal dicabar mana-mana negara di rantau ini.

Malaysia berjaya mempertahankan emas di Singapura, dua tahun lalu dengan hanya menurunkan skuad remaja negara.

"Pemain melakukan beberapa larian tetapi selepas dua minggu berehat, mereka sedikit bergelut.

"Saya memberitahu mereka, sekiranya mereka hebat dalam mengawal bola sekalipun tetapi gagal dalam ujian kecergasan, saya perlu menilai semula pemilihan pemain," kata jurulatih skuad negara, Stephen Van Huizen.