Pengendali skuad hoki negara, Stephen van Huizen, tidak bimbang dengan keadaan padang licin di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil setelah menyaksikan anak buahnya menewaskana skuad Australia Barat 4-0 dalam aksi pemanas badan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, semalam.

Bagi Van Huizen, ia situasi normal apabila melihat beberapa pemainnya mudah terjatuh ekoran keadaan permukaan padang yang licin.

Baginya, isu padang licin bukan satu masalah kerana ia akan turut dialami pasukan lawan sebaik bermula Sukan SEA.

"Kita hanya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Ini kerana ia licin disebabkan ia padang baru.

"Jadi, pemain perlu melakukan perubahan terhadap pemakaian kasut. Pemain yang bagus akan cepat serasi dengan keadaan ini, cumanya kami perlu berhati-hati," ujar Van Huizen.

Sementara itu, jurulatih Australia Barat, Mark Sandhu, memuji barisan skuad hoki negara yang rata-rata memiliki kekuatan seimbang.

"Saya tidak nampak seorang pemain yang menonjol, sebaliknya saya lihat mereka memiliki kekuatan di setiap bahagian," katanya.