Bekas jurulatih negara, Paul Lissek, berharap skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita berpuas hati dengan segala bimbingannya selama ini sebagai penasihat teknikal sebelum pulang ke Jerman, Rabu ini.

Lissek memulakan tugas untuk membantu skuad hoki dalam dewan bagi Sukan SEA 2017 sejak Februari lalu.

Tugasnya telah berakhir sejurus tamat perlawanan persahabatan berdepan Australia Barat pada Selasa ini sebelum pulang ke Jerman keesokan harinya.

Bagi Lissek, segala tunjuk-ajar yang diberikannya mampu menjadi ilmu yang berguna kepada pasukan dalam temasya itu meskipun tanpa kelibatnya pada hari perlawanan sebenar.

Berkemungkinan besar, dia tidak lagi akan bersama skuad negara pada masa akan datang tetapi berbesar hati jika mereka masih memerlukan khidmatnya.

"Saya berasa sedih sekarang. Kini prestasi pasukan lelaki dan wanita sudah meningkat. Skuad lelaki begitu kuat sekarang, mereka boleh menewaskan Australia. Sangat jelas mereka layak.

"Mereka sudah memahami struktur dalam pasukan. Saya rasa ia bagus dan saya suka melihatnya," katanya.

Ketiadaan Lissek diambil positif oleh barisan pemain selain turut menyifatkan kehadirannya selama ini benar-benar membantu pasukan berada di tahap yang terbaik.

"Walaupun dia tiada, saya yakin pasukan mampu melakukan yang terbaik. Tiada masalah bagi kami.

"Taktikal lebih kurang sama. Bagaimanapun, sebagai pemain, kami akan mengikut arahan dan mampu berjaya nanti," kata kapten pasukan, Muhammad Najib Abu Hassan.

Sementara itu, pemain pertahanan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, berkata: "Jurulatih Lissek banyak membantu pasukan dalam dewan untuk Sukan SEA ini. Kami akan ingat pesanan dan tip penting yang diberikan. Kami akan ingat apa yang dia ajar selama ini."