Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memberi jaminan masalah permukaan gelanggang hoki dalam dewan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) akan diselesaikan dalam tempoh empat hari.

"Sebab itulah kami mengadakan perlawanan ujian pada Isnin lalu (bertemu Australia Barat) dan masalah ini dapat diatasi.

"Kontraktor memberitahu, perkara ini akan diselesaikan dalam tempoh empat hari," ujarnya.

Semalam, ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita, Iman Gobinathan, enggan terlalu memikirkan masalah berkenaan, sebaliknya hanya fokus kepada prestasi anak buahnya menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur.

Iman tidak menolak keadaan permukaan gelanggang yang tidak rata mencetus kebimbangan, bagaimanapun dia enggan masalah itu terus memberi tekanan kepada pemain dalam masa terdekat ini.

Baginya, mereka tetap perlu berdepan dengan situasi sedemikian kerana anak buahnya harus konsisten dalam menangani apa jua keadaan jika ia tidak diperbaiki.

Selepas tiga aksi persahabatan berdepan Australia Barat, mereka masih lagi mencari rentak terbaik apabila seri dalam dua perlawanan dan terbaru, tewas 2-1.

"Lebih baik saya fokus dengan pasukan sendiri.

"Berkenaan dengan permukaan gelanggang, saya tidak boleh cakap apa-apa dan lebih baik kami menggunakan apa sahaja kemudahan yang ada.

"Kami akan cuba menyesuaikan diri dan tidak mempunyai masalah dengannya," ujarnya yang membantu Malaysia muncul naib juara Piala Hoki Dalam Dewan Asia di Doha, Mei lalu.