Skuad hoki lelaki negara melaungkan keyakinan tinggi bahawa emas mampu digapai mereka tanpa sebarang masalah berdasarkan perbezaan ranking yang ketara dengan pencabar lain.

Jurulatih, Stephen Van Huizen, berkata pemain tetap bersemangat untuk meraih pingat emas buat negara meskipun keutamaan terarah kepada Kejohanan Piala Asia yang akan berlangsung 30 September ini.

"Sukan SEA adalah kejohanan yang bertaraf paling rendah buat skuad hoki negara. Ini kerana kami menduduki ranking paling tinggi dalam benua Asia Tenggara.

"Taraf Sukan Asia lebih tinggi kerana adanya pencabar seperti India, China, Pakistan, Korea dan Jepun," jelas Van Huizen.

Ketua pasukan, Mohd. Sukri Mutalib, menganggap Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebagai acara yang istimewa kerana walaupun bergelar pemain kebangsaan selama 13 tahun, ini akan menjadi pengalaman pertamanya beraksi dalam temasya dwitahunan itu.

"Saya sangat teruja kerana tidak pernah beraksi dalam Sukan SEA selepas 13 tahun beraksi bersama skuad kebangsaan. Saya akan pastikan kami akan mencapai pingat emas," ujarnya.

Sementara itu, skuad judo turun dengan misi serampang dua mata untuk menamatkan kemarau emas sejak Sukan SEA 1981 Manila, lantas memulihkan maruah sukan itu yang sekian lama dipandang sepi.

Menurut ketua jurulatih, Marjan Abdullah, banyak peningkatan mendadak dipamerkan atletnya berdasarkan latihan selama dua bulan di Mongolia.

"(Atlet kita) dibimbing jurulatih saya sendiri di sana, Baltulga Dashgobo, yang sekarang menjadi ketua jurulatih bagi skuad Olimpik Mongolia. Jadi, saya harap atlet saya mendapat ilmu terbaik ketika menuntut ilmu di sana," jelas Marjan.

Atlet judo lelaki negara, Mohd Farhan Uzair, yang akan beralih ke kategori 73 kilogram,menyasarkan mara ke peringkat akhir selepas meraih gangsa di Singapura, dua tahun lalu.

"Banyak perubahan, terutama daripada aspek mental, kerana cuaca di sana lebih sejuk, jadi kami dapat memperbaiki stamina. Ketika berlatih saya dapat rasa perbezaan," kata Farhan.