Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen, mempertahankan barisan pemain yang akan dibawa ke Jakarta sambil menyifatkan mereka barisan terbaik yang dimiliki Malaysia ketika ini untuk menggapai emas dalam Sukan Asia Indonesia.

Van Huizen tidak melakukan sebarang perubahan ketara ketika menyenaraikan 18 pemain yang akan dibawa ke temasya itu.

Hampir semuanya adalah muka sama ketika beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu, dan hanya Muhammad Amirol Aideed muka baru menggantikan pemain pertahanan, Najmi Farizal Jazlan, yang sudah tidak bersama kem kebangsaan lagi.

Van Huizen juga mengakui tekanan memuncak untuk dirinya dan pasukan memandangkan harapan emas disandarkan kepada mereka bagi mencari slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Harapan semua pihak, termasuk daripada media dan peminat, untuk kami mendapat emas.

"Tetapi, hakikatnya ia satu tugas sukar kerana kami menduduki tempat kedua dalam Asia. India menduduki ranking teratas dan menjadi pasukan kegemaran," katanya.

Untuk kem wanita pula, di sebalik status kesihatan ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang menjadi tanda tanya, skuad Malaysian Hockey Tigress membuat kejutan menyenaraikan Kirandeep Kaur yang hanya berusia 15 tahun.

"Apa-apa pun yang berlaku, jurulatih bertanggungjawab dengan pasukan dan keputusannya. Saya fikir siapa yang dipilih sudah tentu layak untuk bermain untuk negara.

"Saya tidak rasa ia satu masalah," kata Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal.

Skuad hoki negara turut mendapat suntikan semangat apabila mereka menerima tajaan kasut daripada Vik Network bagi menghadapi Sukan Asia dari 18 Ogos hingga 2 September ini.