Skuad hoki lelaki dan wanita negara akan menjalani sesi persediaan terakhir sebelum ke Sukan Asia 2018 dengan mengadakan perlawanan persahabatan di Australia bagi memastikan misi menaiki podium di Indonesia bulan depan berjaya dilaksanakan.

Skuad wanita akan berada di Brisbane dari 21 hingga 29 Julai ini dan bakal mengharungi lima perlawanan persahabatan menentang Queensland Academy of Sports (QAS) yang dijadualkan berlangsung di Pusat Hoki Brisbane.

Kapten pasukan wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani, mahu beberapa kelemahan pasukan yang telah dikenal pasti selepas tamat Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura 2018 baru-baru ini diperbaiki dengan sebaiknya ketika menjalani lima perlawanan persahabatan tersebut.

“Kami telah mengenal pasti beberapa kelemahan seperti dari segi serangan balas, menyudahkan pukulan sudut penalti terus dan cara untuk mengawal keadaan ketika kami dalam situasi kekurangan pemain.

“Kelemahan-kelemahan tersebut saya harap dapat diperbaiki dengan sebaiknya ketika di Brisbane dan secara tidak langsung juga aksi persahabatan tersebut kami perlu menggunakan dengan sepenuhnya sebagai persiapan untuk memantapkan pasukan menjelang Sukan Asia,” jelasnya.

Sementara itu, skuad lelaki yang akan ke Perth dari 22 Julai hingga 2 Ogos depan turut akan mengharungi lima perlawanan persahabatan menentang pasukan Australia dan aksi mereka dijadualkan berlangsung di Curtin University Campus yang juga merupakan Institut Sukan Australia (AIS).