Legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, bimbang dengan peluang The Malaysian Hockey Tigers memburu pingat emas Sukan Asia Indonesia 2018 susulan aksi longlai dengan mencatatkan sekali seri dan empat kekalahan ketika menentang Australia 'A' dalam siri persahabatan di Perth, baru-baru ini.

Tiada sebarang kemenangan diraih di Perth, sekali gus membuktikan bahawa skuad kendalian Stephen Van Huizen itu kesuntukan masa untuk memperbaiki kelemahan sebelum berlepas ke Jakarta.

Apatah lagi, Malaysia tewas di tangan pasukan campuran pemain kebangsaan dan kelab, bukannya skuad utama ranking pertama dunia itu.

Lebih membimbangkan, India selaku pilihan utama Sukan Asia mempamerkan aksi lebih mantap apabila muncul naib juara Trofi Juara-Juara, bulan lalu untuk menghuni ranking kelima dunia.

"Situasi ini sedikit membimbangkan kerana mereka tewas besar 1-6 dalam perlawanan terakhir (kepada Australia).

"Harapan saya adalah untuk melihat pasukan kebangsaan memperbaiki kelemahan semasa menentang Australia 'A' sebelum ke Jakarta untuk menghadapi Sukan Asia.

"Berbaki dua minggu lagi Sukan Asia akan berlangsung. Mereka perlu cuba memperbaiki kelemahan serta memastikan mental dan fizikal dalam bentuk yang positif dan keyakinan yang tinggi," kata Mirnawan.