Sukan Asia: Emas bukan mustahil buat skuad hoki negara

Oleh Staff Writer 26 April 2018 844
Sukan Asia: Emas bukan mustahil buat skuad hoki negara
Tonggak pertahanan skuad hoki negara, Muhammad Razie Abdul Rahim, menyifatkan sasaran meraih emas dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan wajar dicapai pemain negara memandangkan laluan lebih sukar menanti jika melalui saingan Liga Hoki Dunia untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagi Razie, kejayaan meraih tempat kelima dalam Sukan Komanwel lalu sedikit-sebanyak menyuntik keyakinan pemain bagi mengharungi cabaran dalam Sukan Asia kali ini.

Kejayaan meraih tempat kelima di Gold Coast juga adalah pencapaian terbaik skuad negara dalam temasya itu sejak meraih gangsa di Melbourne pada 2006.

Dalam kalangan negara Asia yang beraksi di Gold Coast, Malaysia menduduki tempat kedua terbaik di belakang India yang meraih tempat keempat.

"Kami menyasarkan pingat emas untuk Sukan Asia 2018, jadi pencapaian dalam Sukan Komanwel Gold Coast secara tidak langsung memberikan semangat buat kami untuk berusaha lebih kuat," kata Razie.

Sementara itu, tonggak tengah dan kapten skuad negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, turut senada dengan Razie mengenai cabaran dan harapan mereka dalam Sukan Asia.

Bagi Sukri, dia mengharapkan semangat juang tinggi pemain di Gold Coast dapat dikekalkan untuk saingan Sukan Asia kali ini.

"Walaupun ada naik dan turun dalam persembahan kami, terutama ketika bertemu England di mana kami memang bermain agak teruk tetapi kami bangkit selepas itu. Situasi itu yang saya mahukan daripada rakan sepasukan. 

"Saya harap perwatakan yang ditunjukkan itu akan kekal di masa akan datang, termasuk Sukan Asia," ujar Sukri.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen