Sukan Asia: Cerita berbeza kem hoki lelaki, wanita

Oleh Staff Writer 17 Julai 2018 3604
Sukan Asia: Cerita berbeza kem hoki lelaki, wanita
Laluan berbeza menanti skuad hoki negara dalam Sukan Asia 2018 apabila pasukan lelaki kendalian Stephen Van Huizen dijangka mudah melepasi peringkat kumpulan manakala skuad wanita perlu berentap dengan dua gergasi, China dan Jepun.

Skuad hoki negara diletakkan harapan untuk memenangi pingat emas dalam Sukan Asia kali ini bagi mencari slot automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Justeru, keputusan undian peringkat kumpulan semalam memberi sinar untuk mereka apabila hanya Pakistan dijangka menjadi pesaing terkuat dalam Kumpulan B.

Bagaimanapun, Van Huizen mengingatkan anak buahnya agar jangan terlalu memandang rendah  dua lagi lawan, Bangladesh, yang dipimpin bekas penolong jurulatih negara, Iman Gobinathan, serta Indonesia yang menerima sentuhan bekas pembantu jurulatih kebangsaan, Lim Chiow Chuan, sebagai pengarah teknikal mereka.

"Dia memang dari Malaysia dan mengetahui mengenai pemain kebangsaan. Jadi, kami menghormati mereka dan sedar akan perbezaan yang mampu dihadirkan. 

"Jelas sekali, kami harus melakukan kerja rumah secara terperinci untuk mengetahui tentang mereka," kata Van Huizen.

Bagi skuad hoki wanita, jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, tetap menolak tanggapan bahawa mereka berada dalam kumpulan maut walaupun diundi bersama China dan Jepun.

Bagi Dhaarma, dia lebih rela untuk berada sekumpulan dengan negara tersebut berbanding India yang sukar untuk ditandingi.

"Fokus kami adalah dalam dua perlawanan ini dan jika menang salah satu daripada pertemuan dengan China atau Jepun, kami mampu ke separuh akhir. Itu yang diimpikan walaupun keempat-empat pasukan ini bukan pasukan yang mudah ditundukkan," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen