Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Korea Selatan pada Mei lalu menjadi penyelamat skuad hoki wanita negara untuk terus berada dalam kategori A bagi Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Mereka tidak pernah terlepas untuk berada dalam kategori A, merujuk kepada kelayakan yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), iaitu ranking enam terbaik Asia sebelum ini.

Terkini, skuad Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu berada di kedudukan kelima, namun pasukan itu masih layak mendapat kategori A berdasarkan prestasi semasa, dengan menamatkan cabaran di kedudukan keempat dalam Trofi Juara-Juara Asia.

"Itu (Sukan Asia) yang kami sasarkan selepas kejayaan dalam ACT di Korea Selatan baru-baru ini, di mana kami meraih pencapaian memberangsangkan, terutama prestasi pemain yang menewaskan Jepun.

"Saya harap mereka dapat bermain bersungguh-sungguh dalam Sukan Asia nanti," kata penolong jurulatih, Lailin Abu Hassan.

Sementara itu, berita gembira bagi ketujuh-tujuh atlet wushu negara yang tidak mendapat halangan MOM untuk berada di bawah kategori A termasuk nama baru, iaitu Audrey Chan Yee Jo dan Calvin Lee Wai Leong.

"Sukan Asia ini kami berdepan sedikit kesukaran. Ia memerlukan kekuatan fizikal dan psikologi," kata Presiden Persatuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt.

Dalam pada itu, Persatuan Ping Pong Malaysia membuat rayuan untuk mendapatkan bantuan daripada MOM walaupun menyedari lapan atlet yang disenaraikan hanya diletakkan dalam kategori B.