Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, yakin skuad hoki negara masih mampu ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun ranking The Malaysian Hockey Tigers jatuh satu anak tangga selepas Kejohanan Piala Dunia di Bhubaneswar India, yang berakhir semalam.

Kegagalan ke pusingan kedua Piala Dunia menyaksikan ranking skuad negara jatuh satu anak tangga ke kedudukan ke-13 dunia.

Malaysia kini dipintas Pakistan yang menduduki ranking ke-12 dunia.

Bagi Subahan, barisan pemain hoki negara perlu lebih fokus dalam Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula tahun depan.

"Saya akan mengambil tanggungjawab berkenaan memandangkan empat tahun merupakan tempoh yang lama bagi memegang jawatan presiden.

"Malaysia sudah 20 tahun tidak layak ke Sukan Olimpik.

"Selama empat tahun ini, saya telah menghabiskan banyak masa untuk membentuk skuad hoki kebangsaan.

"Kami telah melakukan pelbagai usaha, antaranya membawa masuk jurulatih terbaik dunia.

"Apa yang perlu dilakukan kini adalah membentuk barisan pemain yang bersemangat tinggi dan sentiasa laparkan kemenangan," katanya.