Datuk Seri Subahan Kamal menyifatkan dirinya mahu memberi tumpuan kepada sukan hoki sebagai faktor utama mengapa beliau bersedia melepaskan jawatan presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif persatuan itu, esok.

Subahan juga menjelaskan beliau bersedia mengosongkan kerusi presiden untuk Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharifuddin Idris Shah, mengambil alih kedudukan tertinggi dalam FAS itu.

Subahan percaya bahawa ahli jawatankuasa eksekutif FAS ketika mesyuarat esok akan bersetuju dengan pencalonan Tengku Amir selaku presiden baru.

"Saya rasa komitmen kerja menjadi faktor, namun dalam masa sama saya yakin Tengku Amir Shah layak memegang jawatan tersebut. Bagaimanapun, saya tetap kekal selaku aktivis dan penyokong bola sepak Selangor," katanya.

Dalam masa sama, Subahan yang juga merupakan presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berasa kini adalah waktu terbaik buat dirinya mengundurkan diri selaku presiden FAS memandangkan hoki juga memerlukan tumpuannya.

Misi layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah sasaran utama Subahan buat skuad hoki negara.

"Saya juga perlu tumpukan perhatian lebih kepada hoki kerana Malaysia berpeluang cerah untuk ke saingan Olimpik setelah menunggu sekian lama.

"Walaupun telah layak ke Piala Dunia, saya optimis skuad lelaki negara mampu meraih pingat emas dalam Sukan Asia 2018, sekali gus mengesahkan tiket ke Olimpik," ujarnya.