Harapan untuk melihat pertembungan satu lawan satu merebut kerusi presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak kesampaian apabila pencabar, Datuk Kamaruddin Meranun, tidak mendapat pencalonan yang cukup menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM), 16 November ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perundangan KHM, Jadadish Chandra, yang menjelaskan syarat minimum untuk seseorang individu bertanding merebut jawatan presiden harus mendapat sekurang-kurangnya tiga pencalonan daripada badan gabungan persatuan itu.

Pencalonan yang tutup pada jam 3 petang, 2 November lalu menyaksikan Kamaruddin hanya mendapat dua pencalonan manakala penyandang, Datuk Seri Subahan Kamal, menerima 13 pencalonan.

Ia bermakna kerusi presiden tidak akan dipertandingkan dalam AGM nanti, sekali gus menyaksikan Subahan menang tanpa bertanding untuk kekal memegang jawatan tersebut sepenggal lagi.

"Untuk posisi presiden, kami memiliki Datuk Seri Subahan Kamal dengan 13 pencalonan sementara Datuk Kamaruddin Meranun meraih dua pencalonan.

"Saya boleh memberitahu anda bahawa Datuk Kamaruddin tidak memenuhi kelayakan untuk mencabar jawatan presiden, jadi kerusi itu tidak akan dipertandingkan dalam AGM," kata Jadadish.