Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah , berpuas hati dengan wajah baru dan keadaan padang sintetik Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sekali gus bersedia menerima kunjungan India dalam siri persahabatan bulan depan.

Stadium Hoki Nasional mula ditutup sejak 11 Februari lalu dengan kerja-kerja membaiki permukaan padang dan ia disiapkan tepat pada masanya selepas enam minggu.

Sepanjang proses itu, skuad wanita negara kebiasaannya mengadakan sesi latihan di Stadium Hoki Tun Razak, namun anak buahnya berkesempatan untuk menguji Stadium Hoki Nasional sejak empat hari lalu.

"Bagi kami, kesempatan berlatih di Bukit Jalil adalah langkah yang terbaik. Ini kerana sebahagian daripada anggota skuad ini tinggal berhampiran dan gimnasium juga terletak berdekatan.

"Ia sesuatu yang bagus tetapi kami perlu menggunakan permukaan padang baru ini terlebih dahulu sebelum aksi persahabatan dengan India dan Final Siri Hoki Dunia Lelaki, bulan depan, kerana jika tidak, bola akan lebih mudah melantun," jelasnya.

Dalam masa sama, Dhaarma menaruh harapan agar dapat mengumpul skuad penuh selepas beberapa anak buahnya masih belum dapat menguji venue tersebut.

"Dengan beberapa pemain masih tercedera yang menafikan mereka untuk mengikuti latihan, saya harap mereka sempat pulih untuk menguji padang ini terlebih dahulu sebelum pasukan India sampai," katanya.