Skuad hoki wanita negara terus memperkukuhkan statusnya selaku antara terbaik di rantau Asia apabila berjaya menewaskan Thailand 6-0 dalam final Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura, hari ini.

Skuad The Malaysia Tigress, yang sebelum ini cemerlang menerusi rekod tanpa sebarang kekalahan dalam pusingan round robin, bertekad mahu melakar kejayaan di pentas final.

Terdahulu, membenam cabaran Thailand 4-0 dalam pusingan round robin, Malaysia terus mempamer aksi mantap apabila mendahului menerusi jaringan Fatin Sukri pada minit kedua sebelum dia sekali lagi meledak gol berselang tiga minit untuk Malaysia di depan 2-0.

Selpas itu, Surizan Awang tidak ketinggalan mencetak nama selaku penjaring menerusi gol padang pada minit kelapan.

Pemain muda yang buat penampilan kali pertama bersama skuad senior, Kirandeep Kaur, meledak jaringan keempat pasukan dalam suku kedua perlawanan sebelum Nuraini Rashid memastikan kelebihan selesa Malaysia Tigress menerusi gol kelima.

Jaringan keenam Malaysia hadir menerusi Nuramiran Zulkifli dan keputusan 6-0 cukup untuk mengangkat barisan Malaysia Tigress selaku juara.