Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, mengakui pelan menghantar 12 pemain beraksi di Eropah adalah mengikut acuan Kanada yang berjaya meraih pingat perak Sukan Pan Amerika, minggu lalu.

Tindakan Kanada menghantar ramai pemain beraksi di Eropah mula membuahkan hasil tatkala mereka berjaya mengatasi pasukan ranking ke-13 dunia, Amerika Syarikat, sebelum tumbang di tangan Argentina dalam aksi final.

Dhaarma menggunakan acuan sama dengan menghantar 12 pemain ke Eropah sambil enam pemain sudah berlepas ke Jerman.

"Semua yang mengikuti perkembangan skuad Kanada tahu bahawa mereka meletakkan semua pemain dalam liga di Belgium. Jadi, ia menjadi pusat untuk pemain Kanada. Sememangnya saya mahu situasi sama seperti apa yang dilakukan Kanada sejak ketika mengemudi skuad remaja dahulu," katanya.

Empat pemain akan menjadi kumpulan ketiga berlepas ke Eropah diketuai pemain tengah berpengalaman, Fatin Shafikah Sukri, yang akan menyarung jersi Roma Butterfly di Itali, bulan depan.

"Untuk tahun kedua, saya akan meningkatkan lagi persefahaman kerana ia sudah ada," ujar Fatin.

"Sebelum ini, pasukan yang saya wakili itu mempunyai masalah di bahagian penjaga gol. Jadi, mungkin saya boleh membantu mereka mencapai prestasi yang tinggi di sana," tambah penjaga gol Roma Butterfly, Mas Huzaimah Md Aziz.