Skuad hoki negara akan mendapatkan semula sentuhan bekas pakar pukulan sudut penalti Belanda, Taeke Takema, esok bagi meningkatkan ketajaman gerakan itu hingga 35 peratus menjelang Hoki Siri Dunia Final bermula 26 April ini.

Sentuhan Takema penting untuk membantu pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim, Faizal Saari dan Najmi Farizal Jazlan.

Peluang Malaysia menjaringkan gol menerusi gerakan itu hanya sekitar 25 peratus ketika meraih tangga ketiga Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, bulan lalu.

Statistik itu tidak cukup memuaskan hati ketua jurulatih, Roelant Oltmans, bagi menghadapi kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami perlu lebih tepat ketika melakukan pukulan sudut penalti dalam saingan ini bagi memastikan kemenangan," kata Oltmans.

Selain Takema, Malaysia akan turut mendapatkan khidmat bekas jurulatih penjaga gol Belanda, Martijn Drivjer.

Sementara itu, Oltmans mengesahkan status kecederaan penjaga gol, S. Kumar, akan diputuskan Selasa ini.

"Kumar sedang berusaha untuk kembali pulih daripada kecederaan yang dialami. Kami akan mendapatkan keputusan mengenai tahap kecergasannya untuk beraksi bersama skuad negara atau sebaliknya."