The Malaysian Hockey Tigers menerima suntikan semangat baru apabila mendapat tajaan jersi dan kelengkapan sukan menjelang Piala Dunia di Bhubaneswar, India, yang akan bermula Rabu depan.

Skuad negara akan menggunakan jersi berjenama Adidas menggantikan jenama Kappa dalam saingan itu nanti.

Bagaimanapun, jersi baru itu masih mengekalkan identiti negara dengan jersi tuan rumah berwarna kuning, jersi tempat lawan berwarna putih dan jersi ketiga berwarna merah.

Ia adalah hasil tajaan Vik Sport, yang turut membekalkan kelengkapan hoki buat skuad negara.

Mereka dijangka akan menggunakan jersi itu menjelang perlawanan persahabatan terakhir menentang New Zealand di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, petang ini.

"Kami amat gembira menerima tajaan daripada jenama terbaik seperti itu.

"Adidas merupakan jenama yang terkenal di serata dunia," kata Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal.

"Ia merupakan suntikan semangat buat barisan pemain menjelang Piala Dunia, namun jersi bukanlah perkara utama kerana yang lebih penting adalah kami membawa nama negara di pentas tertinggi itu," kata kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib.