Pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abdul Rahim, meledak gol sulung ketika Malaysia seri 1-1 dengan Argentina semalam, sekali gus menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut dalam siri perlawanan persahabatan di Buenos Aires.

Keputusan seri itu membuktikan kebangkitan pemain Malaysia selepas mengharungi empat kekalahan berturut-turut.

Kali ini, skuad kendalian Stephen Van Huizen itu beraksi lebih baik, terutama mengukuhkan bahagian pertahanan.

Corak itu berkesan untuk menghalang penyerang berbisa juara Sukan Olimpik itu seperti Lucas Villa, Joaquin Menini dan pakar pukulan sudut penalti, Gonzalo Peillat.

Lebih menarik, Malaysia cuma dihadiahkan satu pukulan sudut penalti yang disempurnakan Razie untuk menghadirkan keputusan seri pertama di Buenos Aires.

"Kami dapat sekat pasukan Argentina walaupun ada satu, dua ruang diberikan. Tetapi, kami lebih peka dengan keadaan sekeliling, banyak komunikasi berlaku.

"Yang keduanya, ya, kami dapat menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti. Sebenarnya kami mahu melakukan satu set piece tetapi perkara itu dilakukan secara tidak sengaja yang terus masuk ke dalam gol.

"Ia boleh jadi dua dalam satu, sama ada terpelantun atau terus menuju ke gawang," kata kapten pasukan negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib.

Kedua-dua pasukan akan turun untuk perlawanan keenam dan yang terakhir esok sebelum pemain negara pulang ke tanah air pada Isnin.