Kehadiran bekas jurulatih Pakistan, Roelant Oltmans, di ibu kota meningkatkan spekulasi adakah beliau akan dilantik sebagai pengendali baru The Malaysian Hockey Tigers menjelang sidang media khas di Bukit Jalil, esok.

Kehadiran Oltmans di Kuala Lumpur mewujudkan persoalan mengenai rombakan barisan kejurulatihan skuad negara.

Secara rasionalnya, Malaysia akan menghadapi kelayakan Sukan Olimpik 2020 bermula April depan dan ia peluang terakhir untuk layak ke temasya Tokyo itu.

Adakah ini langkah drastik Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selepas ketua jurulatih, Stephen Van Huizen, sudah melaksanakan segala usaha, namun sekadar meraih perak dalam Sukan Asia 2018 bulan lalu untuk terlepas tiket awal ke Tokyo?

Perubahan ini hanya diketahui oleh beberapa pegawai utama KHM yang diketuai presiden, Datuk Seri Subahan Kamal.

"KHM tidak membincangkan apa-apa mengenai masa depan Van Huizen memandangkan beliau telah membawa negara melayakkan diri ke Piala Dunia di India (hujung tahun ini), jadi dia perlu meneruskan perjuangan sehingga tamat kempen itu.

"Kami tidak mengadakan apa-apa perbincangan dan saya pun tidak mendapat sebarang maklumat daripada Terry Welsh (pengarah teknikal) mahupun presiden," kata Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, Soon Mustafa Karim.

Van Huizen mengambil alih skuad senior negara pada September 2015.

Kejayaan terbesarnya adalah membantu Malaysia layak ke Piala Dunia 2018 selain meraih perak Sukan Asia Indonesia.

Oltmans pula meletak jawatan sebagai ketua jurulatih hoki Pakistan selepas bekas gergasi dunia itu meraih tangga keempat Sukan Asia.

Tidak mustahil juga Malaysia bakal menyaksikan gandingan Otlmans dan Van Huizen untuk memburu tiket ke Tokyo.