Timbalan Presiden Kanan Persekutuan Hoki Malaysia (KHM), Datuk Profesor S. Shamala, mengesahkan skuad kebangsaan ditawarkan menentang skuad di ranking pertama dunia, Argentina, untuk perlawanan persahabatan bulan depan selepas beraksi baik dalam Sukan Komanwel Gold Coast.

Malaysia meraih tangga kelima dalam temasya itu, memperbaiki pencapaian ketujuh di Glasgow empat tahun lalu.

Ia mengukuhkan lagi keyakinan Argentina untuk menjemput Malaysia bagi aksi persahabatan di Buenos Aires walaupun terdapat jurang ranking di antara kedua-dua pasukan, dengan Malaysia menduduki tangga ke-12 dunia.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur bulan lalu sebelum Piala Sultan Azlan Shah.

"Sebelum beraksi dalam Piala Sultan Azlan Shah, kita sudah bermain menentang Argentina. Keberkesanan itu memamg nampak apabila kita bermain dengan Argentina yang merupakan juara dalam Sukan Olimpik di Rio. Jadi, kita boleh setanding mereka.

"Jadi, kita akan ke Argentina untuk satu jelajah dan akan bermain lebih kurang enam perlawanan sebagai satu persiapan kita untuk ke Sukan Asia nanti.

"Prestasi pasukan memang bagus, skuad lelaki meningkat daripada kedudukan ketujuh kepada kelima. Ada beberapa aspek yang perlu kita berikan sewajarnya. Kita boleh atasi kelemahan," katanya.

Situasi ini akan membantu persiapan skuad kendalian Stephen Van Huizen itu untuk misi meraih pingat emas dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan, diikuti Piala Dunia di Bhubaneswar, India pada November nanti.

Malaysia mengatasi Scotland 2-1 untuk menamatkan kempen Sukan Komanwel di tangga kelima.